kisah batu.
Pada suatu hari, seorang pakar motivasi yang mahir dalam bidang pengurusan masa telah membuat satu ilustrasi di hadapan pelajar-pelajar bijak di sebuah universiti. Di atas meja di hadapannya terdapat satu balang bermulut luas bersais 1 gelen.
"Masa untuk kuiz" kata pakar motivasi itu.
Beliau lantas memasukkan beberapa ketul batu yang agak besar ke dalam balang itu sehingga penuh.
"Adakah balang ini telah penuh?" tanya beliau.
"Ya, balang itu telah penuh" jawab salah seorang pelajar di situ.
"Adakah kamu berfikir begitu?"
Kemudian pakar motivasi tersebut mengeluarkan sekarung guli lalu memasukkan ke dalam balang tersebut dan menggoncang-goncangnya. Guli-guli itu masuk di antara celah-celah batu besar tersebut.
"Adakah balang ini telah penuh?" tanya beliau lagi
"Mungkin tidak" jawab seorang pelajar.
"Bagus"
Pakar motivasi itu kemudiannnya memasukkan pasir halus ke dalam balang itu dan menggoncang-goncang balang tersebut. Pasir itu masuk di antara celah-celah batu besar dan guli.
"Adakah balang ini telah penuh? tanya pakar motivasi itu lagi.
"Tidak" jawab semua pelajar.
"Bagus"
Akhir sekali, pakar motivasi itu memasukkan air ke dalam balang itu sehingga penuh.
"Siapa boleh beritahu saya, apa yang dapat kita pelajari dari ilustrasi ini?"
"Tidak kira bagaimana penuhnya jadual seharian kita, sekiranya kita cuba sedaya upaya, kita masih boleh lakukan banyak kerja lain dalam sehari" kata seorang pelajar.
"Terimakasih. Sebenarnya apa yang dapat kita pelajari dari ilustrasi ini ialah jika kita tidak memasukkan batu-batu besar itu dahulu, kita tidak akan dapat memasukkannya langsung ke dalam balang ini"
"Apakah BATU-BATU BESAR dalam kehidupan kita? Mungkin masa bersama keluarga, masa beribadat kepada Tuhan, masa belajar dan sebagainya. Ingat, masukkan BATU-BATU BESAR ini terlebih dahulu ke dalam jadual harian kita. Jika tidak, kita tidak akan dapat melakukannya langsung." kata pakar motivasi itu sambil menamatkan sesi ilustrasi itu.
Senaraikan BATU-BATU BESAR, GULI, PASIR DAN AIR. Kemudian masukkan mengikut turutan dalam jadual harian kita. InsyaAllah, kita tidak akan mengeluh lagi kerana tidak cukup masa atau kita tidak akan merasa bosan kerana tiada apa yang patut dibuat. Itulah cara kita mengurus masa. First things first. Lakukan kerja mengikut priority.

<< Home