cinta ABADI.
CINTAnya Nabi Ibrahim as sehingga sanggup meninggalkan Siti Hajar dan puteranya Ismail di lembah yang tiada berpenghuni kerana mematuhi arahan sang Pemilik segala CINTA. Setelah bertemu semula dengan puteranya, Nabi Ibrahim diarahkan pula oleh Allah swt untuk mengorbankan putera kesayangannya dan berlakulah peristiwa yang membuatkan hati bergetar melihatkan betapa agungnya CINTA seorang kekasih…
CINTAnya seorang anak sehingga sanggup meninggalkan cita-cita yang menggunung tinggi untuk membantu si ibu dan ayah menyara keluarga, agar adik-adik boleh dihantar ke sekolah untuk meneruskan cita-cita mereka. Tidak boleh dibayangkan oleh akal bagaimana seorang ibu mampu mendidik berbelas-belas orang anak dengan penuh CINTA, sayang dan kesabaran melayan kerenah anak-anak…
CINTA juga membuatkan kekasih junjungan kita Nabi Muhammad saw bertahajjud setiap malam, merintih pada yang satu sehingga bengkak-bengkak kaki baginda, semata-mata untuk menyahut seruan kekasih pemilik CINTA yang Maha Agung…Besarnya kuasa CINTA dalam kehidupan membuatkan diri berfikir dan yakin bahawa CINTAlah yang menggerakkan seluruh alam semesta. Manusia, sekiranya lahir rasa CINTA tanpa ada had padaNYA,pasti akan berterusan memuji kebesaran Ilahi kerana seorang kekasih tidak akan pernah lupa kepada kekasihnya bukan? Ingin sentiasa bersama-sama dengan kekasihnya dan tidak sanggup ditinggalkan keseorangan…